Friday, February 26, 2010

Memperbanyak Selawat Dengan Mempelajari Ilmu Hadis

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً
Daripada Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Orang yang paling dekat denganku pada hari Qiyamat ialah mereka yang paling banyak berselawat kepadaku. (al-Tirmizi)
Hadis ini bermaksud orang paling dekat ialah orang yang paling hampir dengan Rasulullah s.a.w. atau paling berhak mendapat syafa’at dengan sebab banyak berselawat kepada baginda semasa di dunia. Banyak selawat menandakan betapa kasihnya seseorang itu kepada Rasulullah s.a.w. yang mendorongnya mengikuti dan menegakkan sunnah baginda.
Sebenarnya hadis ini membimbing kita supaya berada dalam keadaan dan suasana yang membolehkan kita berselawat kepada baginda iaitu dengan menghadiri majlis pengajian hadis. Apa yang lazim atau memestikan kita berselawat ialah mendengar nama Rasulullah s.a.w.  Dengan mempelajari hadis, seseorang itu bukan sahaja mendengar sebutan nama baginda tetapi mengetahui apa sahaja yang berkaitan dengan baginda. Dengan mempelajari hadis juga, akan tergambar di minda seorang mulia keadaan baginda, akhlak, sifat fizikal, ketabahan dan kesungguhan dalam menyebarkan wahyu Allah, kasih sayang baginda kepada umatnya, penderitaan yang dialami dalam usaha  memperjuangkan Islam dan sebagainya. Seorang pelajar hadis tidak hanya mendengar nama baginda disebut dan dia berselawat malah timbul dalam dirinya perasaan kasih kepada baginda dan keazaman untuk menuruti jejak baginda.
Oleh kerana itu, Ibn Hibban setelah mengemukakan hadis ini menyatakan bahawa dalam hadis ini terdapat penjelasan bahawa individu ummat ini yang paling utama dengan Rasulullah s.a.w. ialah ulama hadis kerana tidak ada orang yang lebih banyak berselawat melebihi mereka.
Abu Nu’aim sebagaimana yang dilaporkan oleh al-Khatib al-Baghdadi berkata: Keutamaan yang mulia ini khusus dengan perawi-perawi hadis kerana tidak diketahui kumpulan ulama yang banyak berselawat berbanding dengan kumpulan ini baik secara tulisan mahupun ucapan. (Mir’ah al-Mafatih, jil. 3, hal. 261)
Tepat sekali ucapan penyair:
أهل الحديث هم أهل النبي وإن         لم يصحبوا نفسه أنفاسه صحبوا
Ahli hadis itulah ahli Nabi Muhammad s.a.w., walaupun mereka tidak menjadi sahabat baginda tetapi nafas-nafas mereka itu yang menemani .
Walaupun seseorang itu tidak pernah bertemu dengan Rasulullah s.a.w. tetapi apabila seseorang lebih berinteraksi dengan hadis-hadis baginda maka seolah-olah dia melihat batang tubuh baginda dan bercakap-cakap dengan baginda. Hal ini telah dialami oleh ramai ulama hadis.
إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرَاهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آَمَنُوا وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ
Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi ugamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya - umat Islam). dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman. (Surah Aal ‘Imran: 68)
Dalam ayat ini mengikuti ajaran rasul dan memperjuangkannya merupakan unsur yang penting dalam menentukan seseorang itu dekat dengan nabi atau tidak.
Ulama juga mentafsirkan bahawa orang yang paling hampir dengan erti orang yang paling berhak untuk mendapat syafaat di akhirat nanti dengan dilimpahkan pelbagai kebaikan dan dihindari daripada segala macam kesusahan. Banyak selawat ini didorong oleh cinta dan kasih kepada Rasulullah s.a.w.
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Aal ‘Imran: 31)
Rapat dengan Rasulullah s.a.w. menuntut kita rapat kepada Allah s.w.t. Cinta kepada Allah dibuktikan dengan kasih kepada Rasulullah s.a.w. dan mengikuti ajaran-ajarannya. Selawat kepada Rasulullah s.a.w. sangat dianjurkan sesuai dengan nama baginda. Ma’na Muhammad s.a.w. ialah seorang yang terpuji. Pujian layak diberikan kepada baginda kerana pekerti baginda yang terpuji.
Jalan lain untuk dekat dengan baginda ialah membanyakkan sembahyang sunnat dan secara tidak langsung membanyakkan juga selawat kepada baginda.
عَنْ رَبِيعَة بْن كَعْبٍ الْأَسْلَمِيُّ قَالَ كُنْتُ أَبِيتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَتَيْتُهُ بِوَضُوئِهِ وَحَاجَتِهِ فَقَالَ لِي سَلْ فَقُلْتُ أَسْأَلُكَ مُرَافَقَتَكَ فِي الْجَنَّةِ قَالَ أَوْ غَيْرَ ذَلِكَ قُلْتُ هُوَ ذَاكَ قَالَ فَأَعِنِّي عَلَى نَفْسِكَ بِكَثْرَةِ السُّجُودِ
Daripada Rabi’ah bin Ka’b al-Aslami katanya saya bersama Rasulullah s.a.w. pada suatu malam, dan saya membawa kepada baginda air untuk berwudu` dan qadha hajat. Rasulullah s.a.w. bersabda kepada saya: Mintalah (apa-apa dari saya). Saya menjawab: Saya minta untuk mendampingi tuan di syurga. Baginda bertanya: adakah itu sahaja. Saya menjawab: itulah (ini sahaja yang saya minta). Baginda bersabda: Kalau begitu bantulah saya untuk diri kamu dengan membanyakkan sujud. (Muslim)
Walaupun disebutkan sujud sahaja dalam hadis ini tidak bermakna khusus dengan sujud sahaja. Sujud merujuk kepada bahagian terpenting dalam sembahyang. Ini bermakna hendaklah memperbanyakkan sembahyang sunnat, apabila banyak sembahyang maka banyak sujud dan selawat kepada Rasulullah s.a.w. Pada hakikatnya ini menunjukkan bahawa untuk menjadi dekat dengan Rasulullah s.a.w. maka hendaklah memperbanyakkan amalan yang disukai baginda dan sejuk pandangan baginda adalah dalam sembahyang.
عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حُبِّبَ إِلَيَّ مِنْ الدُّنْيَا النِّسَاءُ وَالطِّيبُ وَجُعِلَ قُرَّةُ عَيْنِي فِي الصَّلَاةِ
Daripada Anas bin Malik katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Telah ditimbulkan kepadaku kasih kepada dunia iaitu wanita dan wangi-wangian tetapi dijadikan penyejuk mataku dalam sembahyang. (al-Nasa`i)
Ada beberapa kecenderungan yang tidak mengambarkan kesempurnaan kecintaan terhadap Rasulullah s.a.w. Pertama, mereka hanya memperbanyak selawat pada bulan Rabi’ Awwal sahaja sedangkan galakan berselawat bukan hanya pada bulan-bulan tertentu sahaja.
Kedua, sesetengah daripada kita berselawat hanya sebagai petua untuk faedah duniawi yang bersifat sementara seperti untuk mendapatkan wajah yang berseri semata-mata atau untuk kelihatan remaja. Pada hal perintah selewat itu menggambarkan kita kasih kepada baginda dan mendorong kita untuk mengamalkan ajaran-ajaran baginda. Bukan semata-mata untuk mendapat manfaat duniawi yang sementara tetapi untuk kebaikan di dunia dan akhirat.
Wallahualam.  Mengharapkan Cahaya Sakinah dan Rahmat dari Allah Ta'ala.
12 Rabiul-Awwal 1431

5 comments: