IN MY HEAD: ?

Tuesday, April 26, 2011

Ilmu Rijal Hadis: Satu Pengenalan

Satu perkongsian buat sahabat-sahabat. Mari mendalami Ilmu Rijal hadis. Ilmu Rijal adalah satu cara kita untuk mengenali perawi-perawi. Siapa pula perawi- perawi hadis? perawi hadis secara ringkasnya boleh dikatakan orang yang sentiasa menyibukkan dirinya dengan hadis dan mengatahui manhaj hadis.
Kedatangan Islam dengan al-Quran dan al-Hadis telah membuka lembaran baru dalam sejarah ketamadunan manusia dan perkembangan ilmu.

Ilmu-ilmu seperti Usul al-Fiqh, Usul Tafsir dan Balaghah yang dihasilkan oleh Islam tidak pernah diketahui sebelum ini.

Kemunculan ilmu-ilmi ini tidak lain dan tidak bukan untuk menghuraikan dan menjelaskan  maksud al-quran dan al- hadis. Antara ilmu yang muncul ialah ilmu Rijal Hadis iaitu ilmu yang berkait dengan perwi-perawi yang meriwayatkan hadis-hadis Rasulullah.
Imam Ali bin al-Madini berkata:

"Kefahaman yang mendalam tentang makna-makna hadis adalah separuh ilmu dan mengenali para perawi adalah separuh ilmu. (Abu Ghuddah, Lamahat, hal. 80)

Kata-kata Ibn al-Madini jelas menunjukkan betapa tingginya kedudukan ilmu rijal yang sebaris dengan ilmu memahami kandungan hadis. Oleh kerana itu, ulama menulis sejumlah kitab yang tidak terhitung banyaknya tentang keadaan para perawi hadis.

Ilmu ini dapat dibahagikan kepada dua.
Pertama, ilmu sejarah perawi dan ; kedua, ilmu Jarh wa Ta`dil.

Ilmu Tarikh al-Ruwat atau sejarah para perawi

Dr. `Ajjaj al-Khatib menyebutkan takrif ilmu ini.

Kata beliau, ilmu Tarikh al-Ruwat ialah ilmu yang memperkenalkan perawi darisudut yang berkait dengan periwayatan hadis oleh mereka.

Ilmu ini merangkumi biografi dan penjelasan keadaan perawi, tarikh lahir dan wafat, negeri mereka, tarikh mula mendengar hadis,pengembaraan, tarikh ketibaan di sesebuah negeri, guru-guru, perawi lain yang menerima hadis daripadanya dan mendengar hadis dari syaikh yang nyanyuk sebelum atau selepas berlaku nyanyuk. (Usul al-Hadith, hal. 253).

Ilmu ini sama berkembang dengan ilmu hadis. Dari satu sudut, ilmu ini kelihatan sebahagian dari ilmu sejarah. Cuma ia lebih tertumpu kepada keadaan para perawi.

Pengenalan Para Perawi

Secara asasnya, seseorang perawi dikenali dengan nama asal tetapi ada kalanya lebih dikenali dengan "kuniyah" atau nisbahnya.

Apabila seorang perawi itu dikenali dengan abu fulan (bapa si fulan) atau ummu fulan (ibu si fulan) maka itu dikatakan "kuniyah". "Kuniyah" merupakan panggilan yang cukup utuh dalam sistem panggilan masyarakat Arab yang menggambarkan kedudukan seseorang dalam masyarakat.

Begitu juga apabila perawi itu dikaitkan dengan sesuatu bangsa, tempat dan keturunan maka itu dipanggil sebagai nisbah.

Di samping itu, ada juga perawi yang diberikan "laqab" atau gelaran yang melambangkan kedudukannya dalam dunia ilmu seperti al-Imam, al-Hafiz,Syaikh al-Islam dan lain-lain.

Ulama yang menyusun biografi perawi akan memperkenalkan perawi itu dengan namanya, "kuniyah"nya, gelarannya kemudian nisbah kepada negeri.

Jika "kuniyah"nya atau gelarannnya lebih terkenal maka itulah yang didahulukan. Pengenalan seseorang perawi akan lebih jelas lagi dengan dinyatakan bapanya, datuknya dan juga moyangnya.

Faedahnya ialah apabila terdapat dua orang atau lebih yang mempunyai kesamaan pada nama perawi dan bapanya. Perbezaan akan dikesan dengan melihat kepada nama datuk. Adakalanya perbezaan kepada nama perawi yang sama dengan melihat kepada nisbah negeri.

Sebagai contoh terdapat enam orang yang bernama al-Khalil bin Ahmad. Dalam satu masa ada empat orang yang bernama Ahmad bin Ja`afar bin Hamdan. Dalam pengajian hadis mereka ini dipanggil al-muttafiq wa al-muftariq iaitu sama pada nama tetapi berbeza individu. (Taisir Mustalah al-Hadith, hal. 206)

Satu kisah yang cukup menarik untuk disebutkan di sini yang diceritakan oleh Abu al-Farj al-Mu`afi bin Zakaria al-Nahrawani.

Kata beliau: "Pada satu tahun saya menunaikan haji dan ketika di Mina saya terdengar seorang yang memanggil, wahai Abu al-Farj. Sayapun berkata, mungkin dia mencari saya. Kemudian saya terfikir, ramai lagi orang yang di"kuniyah"kan dengan Abu al-Farj maka saya tidak menyahut. Kemudian saya mendengar orang itu memanggil Abu al-Farj al-Mu`afi. Lalu saya ingin benar untuk menyahut kemudian saya terfikir ada ramai lagi yang dipanggil Abu al-Farj al-Mu`afi maka saya tidak menjawab. Kemudian dipanggil lagi Abu al-Farj al-Mu`afi bin Ja`afar lalu saya tidak menjawab. Kemudian dipanggil lagi Abu al-Farj al-Mu`afi bin Ja`afar al-Nahrawani. Maka sayapun berkata tidak syak lagi tentu dia memanggil saya kerana dia telah menyebut "kuniyah" saya, nama saya, nama ayah saya dan negeri saya. Lalu saya berkata kepadanya, sayalah orang itu, apa yang anda perlukan? Lalu dia bertanya agaknya anda datang dari Nahrawan Timur. Maka saya menjawab, ya. Maka dia berkata, kami mahukan Abu al-Farj al-Mu`afi dari Nahrawan Barat. Lalu saya merasa amat kagum dengan kesamaan itu. (Dirasat Fi Manhaj al-Naqd, hal. 155)

Tahun Kelahiran Dan Kewafatan

Tujuan menyatakan tarikh ialah untuk menentukan tabaqah (lapisan) ataugenerasi yang perawi itu berada bagi memastikan berlaku bersambung-sambung dalam sanad atau tidak.

Ini kerana bersambung-sambung itu syarat bagi kesahihan hadis sementaraterputus pula sebab kepada kecaman pada hadis.

Selain itu, pendustaan sesetengah perawi dapat dikesan dengan menghitung tahun kewafatan perawi yang didakwa sebagai punca hadis dan tahun perawi yang mendakwa.

Diriwayatkan daripada Ismail bin Iyash al-Himsi katanya, satu kali saya berada di Iraq lalu seorang ahli hadis datang kepada saya. Mereka berkata, di sini ada seorang lelaki yang meriwayatkan hadis daripada Khalid bin Ma`dan. Lalu saya bertanya pada tahun berapa anda mencatatkan hadis daripada Khalid. Dia menjawab, pada tahun 113 H. lalu saya berkata, sesungguhnya anda mendakwa bahawa anda telah mendengar daripada Khalid tujuh tahun setelah beliau meninggal dunia. (Dirasat Fi Manhaj al-Naqd, hal. 157).

Perhatian ulama terhadap tahun kelahiran dan kewafatan ini sangat jelas sehingga kitab-kitab mereka tentang perawi dinamakan dengan al-Tawarikh sebagaimana yang dapat dilihat pada al-Tarikh al-Kabir karangan Imam al-Bukhari, Tarikh Ibn Abi Khaitham dan juga Tarikh Ibn Ma`in.

Ada juga ulama yang menyusun nama-nama perawi mengikut tahun kewafatan dan metode ini dikenali dengan al-Wafayat.

Contohnya, Kitab al-Tarikh oleh Abi Bisyr Harun bin Hatim al-Tamimi, al-Tarikhkarangan Abu Musa Muhammad bin al-Muthanna al-`Anazi.

Nama Guru Dan Murid
Adalah menjadi kebiasaan ulama yang menyusun kitab-kitab rijal untukmenyenaraikan guru-guru atau murid-murid bagi perawi atau hanya meyebut mereka yang terkenal sahaja.

Di samping itu, disebutkan juga siapakah yang mengambil riwayat secara terus dan juga yang melalui perantaraan.

Semua ini dapat membantu pengkaji rijal hadis untuk mengetahui ada pertemuan antara seorang syaikh dengan perawi itu.

Pengarang kitab-kitab rijal akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyebutkan guru dan murid.

Umpamanya di bawah biografi Imam Ahmad, al-Mizzi menyenaraikan lebih kurang seratus tiga puluh orang guru Imam Ahmad dan lebih kurang lapan puluh orang murid. (Tahzib al-Kamal, jil. 1, hal. 437)

Pengembaraan Ilmiyyah

Pengembaraan atau rihlah memainkan peranan yang penting dalam sejarah ilmu hadis sama ada dari segi pengumpulan hadis atau mengenalpasti kedudukan para perawi.

Sejarah mencatatkan bahawa Jabir bin Abdullah membeli seekor tunggangandan mengembara dari Madinah ke Mesir untuk mendapatkan kepastian daripada `Uqbah bin `Amir adakah beliau mendengar sebuah hadis tentang melindungi orang mukmin.. Selepas itu beliau terus pulang tanpa menghiraukan apa-apa urusan. (Abu Lubabah, al-Jarh wa al-Ta`dil, hal. 24)

Apabila berlaku gejala pemalsuan hadis, para ulama mengembara ke setiap ceruk negeri untuk mengkaji punca-punca hadis-hadis maudhu` lalu mereka dapat mengetahui siapakah yang terlibat dalam jenayah ini.

Daripada al-Mua’ammal bin Ismail katanya seorang syaikh telah menceritakan saya beberapa hadis tentang kelebihan surah-surah.

Lalu saya berkata kepada syaikh itu:

"Siapakah yang menceritakan kepada anda? Dia menjawab: "Seorang lelaki di Madain telah menceritakan kepada saya dan dia masih hidup."

Lalu saya pergi menemuinya dan bertanya: "Siapakah yang menceritakan kepada anda? Dia menjawab: "Seorang syaikh di Wasit telah menceritakan kepada saya dan dia masih hidup." Lalu saya pergi menemuinya dan dia berkata: Seorang syaikh di Basrah telah menceritakan kepada saya." Kemudian saya pergi menemuinya dan dia berkata: Seorang syaikh di Abbadan telah menceritakan kepada saya." Lalu saya pergi menemuinya dan dia menarik tangan saya dan membawa masuk ke sebuah rumah.

Tiba-tiba saya dapati di dalamnya sekumpulan pengikut tasawuf bersama seorang syaikh. Lelaki berkata kepada saya: "Syaikh inilah yang telah menceritakan kepada saya. Lalu saya berkata: "Wahai syaikh ! Siapakah yang telah menceritakan kepada anda? Dia menjawab: "Tidak ada sesiapapun yang menceritakan kepada saya tetapi saya melihat orang ramai tidak memberi perhatian kepada al-Quran maka saya menciptakan hadis ini untuk mereka supaya hati-hati mereka kembali berpaling kepada al-Quran. (al-Suyuti, Tadrib al-Rawi, hal. 222)

Faedah daripada mencatatkan tempat-tempat dan tahun pengembaraan ialah untuk menentukan bersambung-sambungnya sanad perawi itu dengan ulama hadis di negeri itu.

Contohnya sekiranya perawi itu tidak pernah sampai di Mesir dan tidak didapati bahawa ada ulama Mesir yang bertemu dengannya, lalu perawi itu meriwayatkan satu hadis dari ulama Mesir maka para ulama hadis akan berhati-hati dengannya.

Ini kerana sudah ada syubhat dalam riwayat ini dan memberi gambaran bahawa sanad hadis itu tidak bersambung-sambung di samping mengambil kira penilaian yang lain seperti perawi itu dituduh berdusta, tidak tepat atau lalai. (Dirasat Fi Manhaj al-Naqd, hal. 162)
Perhatian Terhadap Sanad Sebagai Tuntutan Menjaga Hadis
Hadis sebagai huraian kepada makna al-Quran. Seseorang mujtahid atau ulama tidak akan dapat memahami makna al-Quran sehinggalah beliau dapat menguasai hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Oleh itu, hadis dikatakan sebagai praktik atau jelmaan kepada ajaran al-Quran.

Oleh kerana hadis itu hanya sabit dengan adanya sanad yang dipercayai dan sanad itu merupakan rantaian para perawi, maka menjadi tugas umat ini untuk memeriksa dan mengenali para perawi.

Adalah wajib kepada kita dalam menjaga sunnah untuk mengenali siapakah yang membawa hadis-hadis Rasulullah.

Ini kerana periwayatan hadis itu ada kalanya dilakukan orang yang wajib kita menerima beritanya dan orang wajib kita menolak.

Ini bererti terdapat kelas-kelas yang tertentu bagi para perawi yang menukilkan hadis.

Memeriksa kedudukan para perawi sangat penting dalam menentukan kesahihan riwayat hadis. Lebih-lebih lagi dalam berinteraksi dengan berita-berita sejarah kerana kelonggaran dalam menukilkan peristiwa-peristiwa lebih ketara lagi.

Ilmu Rijal Hadis ini sangat penting dalam berhadapan dengan pereka-pereka hadis.

Kata Sufyan al-Thauri: "Apabila para perawi menggunakan dusta dalam periwayatan maka kami gunakan sejarah untuk melawan mereka." (al-Khatib, al-Kifayah, hal. 119)

Di sisi ulama hadis, sanad adalah jalan yang menyampaikan kepada matan bagi hadis.

Sanad merupakan ciri khusus umat Islam. Sebelum kedatangan Islam, sejarah tidak mengenali konsep sanad dalam menukilkan berita-berita malah kebenaran kitab-kitab suci agama sebelum Islam tidak dapat dibuktikan kerana sejarah kewujudannya tidak jelas. Apatah lagi dengan kitab-kitab sejarah.

Kita boleh lihat kepada Injil dengan keempat-empat buah iaitu Matta, Markes, Yuhanna dan Loka. Keempat orang pengarang ini tidak pernah bertemu dengan Nabi Isa a.s.

Sejarah tidak dapat memberikan jawapan siapakah yang meriwayatkan injil-injil ini daripada Nabi Isa a.s. Tambahan pula, tidak diketahui bahasa asalnya. Bagaimana mungkin diyakini kebenarannya. (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, hal. 30)

Berbeza dengan keadaan Islam, setiap sumbernya itu mempunyai sanad yang jelas. Setiap hadis yang didakwa berasal daripada Rasulullah s.a.w. mempunyai sanad walaupun ianya hadis daif. Ulama Islam mengkaji hadis–hadis Rasulullah s.a.w. dari sudut matan dan sanadnya sekali. Bahkan mereka menetapkan bahawa sanad itu adalah juzuk yang penting bagi hadis. Tanpa sanad sesuatu tidak akan diterima.
Dalam hal ini, Abdullah bin Mubarak mengucapkan kata-katanya yang sangat masyhur iaitu:
الإسناد من الدين. ولولا الإسناد لقال من شاء ما شاء.
"Sanad itu sebahagian daripada agama. Tanpanya siapa sahaja akan mengatakan apa yang dia mahu kata." (Sahih Muslim, hal. 9)
Dengan kedatangan Islam, tradisi sanad bukan sahaja digunakan dalam kitab-kitab hadis malah meliputi kitab sejarah, bahasa dan sastera.


Cara Menguji Para Perawi

Para imam ilmu rijal akan memeriksa keadaan perawi dari segi sejauh mana dia menjaga perintah-perintah Allah dan menjauhi kemungkaran.

Untuk itu, ulama akan bertanya kepada orang yang lebih arif tentang perawi tersebut. Al-Hasan bin Saleh berkata: "Apabila kami mahu menulis tentang seorang perawi, kami akan bertanya tentangnya sehingga dikatakan orang: "Adakah anda mahu mengahwinkannya?"
Sekiranya seorang imam diceritakan hadis dari seseorang syaikh yang masih hidup, maka imam tersebutkan akan menemui syaikh tersebut untuk mendapatkan kepastian adakah benar begitu atau tidak.

Syu`bah berkata: "al-Hasan bin `Amarah berkata bahawa al-Hakam telah menceritakan kepada saya daripada Yahya bin al-Jazzar daripada Ali sebanyak tujuh buah hadis. Lalu saya menemui al-Hakam dan bertanya kepadanya. Al-Hakam menjawab saya tidak pernah mendengar apa-apa daripada Yahya." Ini menunjukkan bahawa hadis-hadis itu telah sandarkan kepada al-Hakam sedangkan beliau tidak pernah meriwayatkannya.(al-Mua`llimi, `Ilm al-Rijal wa Ahamiyyatuh, hal. 5)
Jika imam itu mendengar hadis yang diriwayatkan daripada syaikh yang telah meninggal dunia maka beliau akan bertanya kepada perawi, bila syaikh itu meninggal dunia? Bilakah anda bertemu dengannya dan di mana?

Kemudian imam itu akan membandingkan jawapan-jawapan tersebut dengan maklumat yang ada pada beliau tentang syaikh tersebut.

Contohnya tentang cerita yang dinukilkan daripada `Ufair bin Mi`dan bahawaUmar bin Musa bin Wajih menceritakan daripada Khalid bin Ma`dan.

Kata `Ufair: "Lalu saya bertanya kepadanya, pada tahun berapakah anda bertemu dengannya? Lalu dia menjawab, pada tahun 158 H di peperangan Armenia.

Lalu saya berkata kepadanya: "Takutlah kepada Allah wahai syaikh, jangan berdusta, Khalid meninggal dunia pada tahun 154. saya ingin beritahu kepada kamu lagi, dia tidak pernah berperang di Armenia. (Ibid)

Sumber asal : http://www.darulkautsar.net/article.php?ArticleID=36

Monday, April 25, 2011

Siapa Melayu berdasarkan Ulama Islam Ahlul Sunnah Wal Jamaah?

Siapa Melayu berdasarkan ulama Islam Ahlul Sunnah Wal Jamaah? Dengarlah pesanan ini, semoga Melayu khususnya Islam ini tidak berpecah belah.





Saturday, April 16, 2011

Berita: Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dianugerah Tokoh Alim Rabbani

hadi_yala

PATANI, 15 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah dianugerahkan dengan anugerah Tokoh Alim Rabbani oleh Universiti Islam Yala semalam.

Abdul Hadi Awang merupakan satu-satu tokoh ulama di luar Thailand dan rantau nusantara menerima anugerah Tokoh Alim Rabbani diperkenalkan Universiti Islam Yala (YIU).

Gelaran tokoh tersebut sama taraf dengan ijazah kehormat diperkenalkan sejak tujuh tahun lalu.

Kebiasaannya sebelum ini majlis penyampaian diadakan pada upacara hari pertama konvokenysn, namun senat YIU tidak mahu terkongkong dengan acara akademik semata-mata.

Sebelum ini anugerah serupa diberi kepada tokoh ulama yang banyak berjasa dalam bidang dakwah di empat wilayah selatan Thailand, terutamanya pengasas pusat pengajian pondok.

Pernah menerima anugerah itu Syeikhul Islam Negara Thailand dari Bangkok. Selain itu ulama terkenal dari Timur Tengah.

Penyampaian tokoh tersebut diadakan sempena program Multaqa Muslimat yang dianjurkan universiti terbabit di kampus Pattani, semalam.

Multaqa berkenaan berjaya menghimpunkan muslimat dari seluruh Thailand dan wakil dari Malaysia dan Indonesia.

Pihak penganjur memberitahu kira-kira 25,000 peserta di kalangan muslimat  enyertai multaqa tersebut yang diadakan pada 13 dan 14 April lalu.

Rombongan presiden PAS dan kerajaan negeri Kelantan tiba di kampus tersebut kira-kira jam 12 tengahari disambut ribuan yang hadir.

Turut serta anggota-anggota Exco kerajaan Kelantan, Che Abdullah Mat Nawi, Dr Muhammad Fadhli Hassan, Setiausaha Politik Presiden, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Lajnah Hal Ehwal Hubungan Antarabangsa PAS, Mohd Faiz Md Nawi.

Rombongan bertolak dari Kota Bharu menyeberangi jambatan Muhibah di Sungai Golok. Perjalanan sejauh 210 km dari Kota Bharu singgah sekejap di pejabat Majlis Agama Islam Narathiwat dan diadakan pertemuan bersama Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Aziz Mamat.

Perjalanan ke Pattani diiringi peronda polis terpaksa melalui perpuluh-puluh sekatan jalan raya oleh tentera dan polis. Kelihatan ramai anggota tentera bersenjata M16.

Dekan Fakuliti Sastera dan Sains Kemasyarakat YIU, Prof Madya Sukree Langputeh berkata, pemilihan tokoh tersebut bukan mudah dilakukan senat universiti.

Katanya, tokoh yang diberi adalah pendakwah yang benar-benar menjadikan Islam sebagai amalan dalam kehidupan harian.

hadi_yalla2

”Tuan Guru Abdul Hadi Awang merupakan tokoh Islam yang disegani di Asia Tenggara. Beliau menjadikan rutin hariannya menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

”Selain beliau juga mengarang banyak buku mengenai agama yang menjadi rujukan umat Islam,” katanya ketika membaca biodata Presiden PAS sebelum upacara memakaikan jubah Tokoh Alim Rabbani diadakan.

Pemakaian mislah (jubah) dilakukan Rektor YIU, Dr Ismaillutfi. Ia turut disaksikan Timbalan Presiden Pentadbiran Wilayah Selatan Thailand, Harapabara, Gabenor Pattani, Nipon Narapitakkul serta dan peserta multaqa.

Dua aktivis dari Kelantan turut menyampaikan ceramah pada program berkenaan iaitu Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamad dan Dr Hafizah Mustaqim dari USM, Kubang Kerian.

Perasmian penutup pada sebelah petang disempurnakan Presiden Pentadbiran Wilayah Selatan, Said Nasir al Yufri. [harakahdaily.net]

مئة من الأحاديث المشتهرة على الألسنة

100 HADIS DHA'IF DAN PALSU YANG MASYHUR DI KALANGAN MASYARAKAT.

Muat Turun E-Book : SINI

Salam.. Chat.


ShoutMix chat widget

Followers

As-Syahid Izzuddin Al-Qassam (1871 - 20 Nov 1935)

Nama sebenar beliau adalah Muhammad Izzuddin Abdul Qadir Mustafa Al-Qassam. Lahir di daerah Al-Ladziqiyyah, Syria Selatan. Masuk ke Al-Azhar sekitar tahun 1906 pada usia 14 tahun. Sempat berguru dengan Sheikh Muhammad Abduh dan berteman dengan Sheikh Rasyid Redho. Ketika penjajahan kuffar di Libya pada 1911, beliau turut memobilisasi senjata dan para mujahid untuk turun ke Libya. Setiap operasi jihad yang dipimpin oleh beliau di Palestin membuahkan kejayaan besar yang menakutkan Inggeris yang menjajah Palestin saat itu. Beliau syahid dalam satu pertempuran dahsyat di Kota Jenin, bersama 10 orang mujahid yang digempur dengan ratusan pasukan Inggeris yang menggunakan helikopter. Kini, nama beliau disematkan kepada sayap ketenteraan Hamas iaitu Brigade As-Syahid Izzuddin Al-Qassam yang sering dikenal dengan aksi-aksi pelancaran roket Al-Qassam dan operasi Amaliyyah Al-Istisyhadiyyah. 


My News

islamiconlineuniversity.com

Learn How to give Dawah

Alafasy Quran TV - Syeikh Misyari Rasyid Al-Afasy

Radio Rodja - Menebar Cahaya Sunnah - Kuliah Hadist

Iklan Nuff