IN MY HEAD: ?

Tuesday, June 2, 2009

Kehidupan

MANUSIA mempunyai satu dorongan amat kuat untuk memiliki sesuatu dan mahukannya berkekalan. Perasaan ingin memiliki, dimiliki dan ingin kekal sudah menjadi tabiat semula jadi manusia itu sendiri.
Bermula dengan perasaan ingin memiliki yang menimbulkan pula semangat untuk berusaha, kemudian apabila sudah memiliki akan mendorongnya bercita-cita terus mengekalkannya. Isu ingin menjadi kekal inilah yang dimanipulasikan oleh syaitan kepada Nabi Adam dan Hawa hingga kedua-duanya terpedaya.
Firman Allah bermaksud: “Maka syaitan membujuk keduanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu daya. Tatkala keduanya telah merasai buah kayu itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya, dan mulalah keduanya menutupinya dengan daun syurga. Kemudian Tuhan mereka menyeru mereka: Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pohon kayu itu dan Aku katakan kepadamu: Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?” (Surah al-A’raf, ayat 22)
Ayat al-Quran banyak menceritakan perihal golongan yang amat cintakan kebendaan seolah-olah akan kekal hidup di dunia ini serta melupakan matlamat penghidupan mereka sebenarnya.
Pandangan Islam terhadap golongan ini jelas dalam firman Allah bermaksud: “Tetapi kamu lebih utamakan kehidupan dunia dan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal. Semua hal ini telah ada dalam kitab terdahulu iaitu kitab Ibrahim dan Musa.” (Surah al-’Ala, ayat 16-19)
Tabiat cintakan kepada harta benda ini dijelaskan lagi oleh Allah dalam firman bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar kepada (nikmat) tuhannya. Sesungguhnya (manusia) atas yang demikian itu adalah menyaksikan. Sesungguhnya ia sangat cinta kepada harta benda (tamak).” (Surah al-’Adiyat, ayat 6-8)
Lantaran perasaan tamakkan kebendaan itulah mereka terjerumus dalam helah dan tipu daya syaitan serta pesona dunia. Firman Allah bermaksud: “Dijadikan indah bagi manusia mencintai bermacam-macam yang diingini, pada perempuan, anak, harta benda yang melimpah dari jenis emas, perak, kenderaan yang baik, binatang ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan pada sisi Allah itu ada sebaik-baik tempat kembali (syurga).” (Surah Ali-’Imran, ayat 41)
Islam tidak pernah menghalang kehendak manusia, tetapi ajaran Islam membendung manusia supaya tidak melampau batas penghidupan yang akan merosakkan dirinya dan masyarakat sekelilingnya.
Berlawanan dengan sifat tamakkan kebendaan ini, Islam meraikan konsep zuhud. Namun, perlu difahami zuhud tidak bererti meninggalkan dunia secara total, tetapi bermaksud mengambil daripada dunia ini sekadar keperluan.
Zuhud bermaksud membebaskan jiwa daripada segala kemewahan dengan memilih yang lebih baik serta berusaha meninggalkan yang tidak baik. Zuhud juga bukannya memisahkan diri daripada dunia.
Akan tetapi, zuhud adalah satu pengertian membentuk seseorang supaya mempunyai pandangan jelas terhadap hidup di dunia. Kemewahan di dunia tidak menguasai hati dan diri. Seseorang itu juga tidak membenarkan kehidupan di dunia memisahkan mereka daripada taat kepada Allah.
Berkaitan zuhud, Islam juga meraikan sifat qanaah iaitu reda menerima takdir serta ketentuan Allah selepas beliau berusaha dan berikhtiar bersungguh-sungguh. Seterusnya, dengan keredaan itu dia akan bebas daripada sifat keluh kesah, tetap bersyukur dan pada masa sama berusaha memperbaiki keadaan.
Rezeki dalam Islam tidak hanya merujuk kepada pemilikan harta benda semata-mata atau semua berbentuk material saja. Aspek ketenangan atau sakinah misalnya, perlu disedari sebagai rezeki dan rahmat Allah kepada hambanya.
Rezeki juga termasuk ketenangan fikiran, keselamatan hidup, hidup yang dilimpahi kasih sayang, dipercayai ramai dan tidak dihimpit hutang walaupun kehidupan tidak dalam kemewahan. Penilaian hamba disisi Allah juga tidak berdasarkan kepada bilangan, namun yang utama ialah dari segi keikhlasan dan ketakwaan.
Allah tidak hanya menguji hambanya dengan kepayahan dan kemiskinan. Ujian Allah juga boleh datang dalam bentuk kesenangan dan kekayaan.
Firman Allah bermaksud: “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” (Surah al-Anbiya’, ayat 35)
Bagi pihak yang diuji dengan kepayahan atau kemiskinan, perlu menyedari itu ujian untuknya. Dia juga perlu reda kesenangan dan kekayaan orang lain sebagai rezeki yang Allah kurniakan kepada mereka. Kesedaran itu akan menghindarkan sifat cemburu dan dengki terhadap pihak lain.
Kesedaran mengenai konsep rezeki yang luas dalam konteks Islam ini akan membawa seseorang itu menuju kebahagiaan. Apabila seseorang itu reda, tiada perasaan cemburu di atas kesenangan pihak lain dan sentiasa tenang, maka hidupnya akan bahagia serta sejahtera.
Walau apapun yang kita buat di dunia ini, hendaklah disertakan dengan kesedaran bahawa semua itu adalah sementara dan kepada Allah jugalah tempat kembali. Kita juga seharusnya menerima hakikat bahawa apa dicari dalam kehidupan ialah kebahagiaan, dunia dan akhirat.
Allah juga mengingatkan kepada manusia mengenai kehinaan dunia ini jika tidak digunakan berlandaskan keimanan. Firman Allah bermaksud: “Hai golongan jin dan manusia, apakah belum datang kepadamu rasul daripada golongan kamu sendiri, yang menyampaikan kepadamu ayat-Ku dan memberi peringatan kepadamu terhadap pertemuanmu dengan hari ini? Mereka berkata: Kami menjadi saksi atas diri kami sendiri. Kehidupan dunia telah menipu mereka, dan mereka menjadi saksi atas diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang yang kafir.” (Surah al-An’am, ayat 130)
Apa saja kenikmatan di dunia ini hanya sementara dan yang kekal adalah akhirat. Jadikanlah matlamat kehidupan kita di dunia untuk mencapai al-falah iaitu kesejahteraan dan kemenangan di dunia dan akhirat, menerusi pembangunan roh serta jasad.
Allah berfirman bermaksud: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari kenikmatan duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) seperti Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi ini. Sesungguhnya Allah tidak suka pada mereka yang melakukan kerosakan di muka bumi ini.” (Surah al-Qasas, ayat 77)
Kehidupan di alaf baru ini seharusnya dibina di atas tapak Islam, agama fitrah, agama yang terbaik dan praktikal di sepanjang zaman serta ruang, merangkumi padanya iman, akhlak dan pengabdian, sesuai dengan fitrah semula jadi manusia.
Dari: Penulis ialah pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang

Technorati Tags: ,,

Salam.. Chat.


ShoutMix chat widget

Followers

As-Syahid Izzuddin Al-Qassam (1871 - 20 Nov 1935)

Nama sebenar beliau adalah Muhammad Izzuddin Abdul Qadir Mustafa Al-Qassam. Lahir di daerah Al-Ladziqiyyah, Syria Selatan. Masuk ke Al-Azhar sekitar tahun 1906 pada usia 14 tahun. Sempat berguru dengan Sheikh Muhammad Abduh dan berteman dengan Sheikh Rasyid Redho. Ketika penjajahan kuffar di Libya pada 1911, beliau turut memobilisasi senjata dan para mujahid untuk turun ke Libya. Setiap operasi jihad yang dipimpin oleh beliau di Palestin membuahkan kejayaan besar yang menakutkan Inggeris yang menjajah Palestin saat itu. Beliau syahid dalam satu pertempuran dahsyat di Kota Jenin, bersama 10 orang mujahid yang digempur dengan ratusan pasukan Inggeris yang menggunakan helikopter. Kini, nama beliau disematkan kepada sayap ketenteraan Hamas iaitu Brigade As-Syahid Izzuddin Al-Qassam yang sering dikenal dengan aksi-aksi pelancaran roket Al-Qassam dan operasi Amaliyyah Al-Istisyhadiyyah. 


My News

islamiconlineuniversity.com

Learn How to give Dawah

Alafasy Quran TV - Syeikh Misyari Rasyid Al-Afasy

Radio Rodja - Menebar Cahaya Sunnah - Kuliah Hadist

Iklan Nuff